AWAN MENDUNG BERARAK,BIARKAN BERLALU...
... SEMOGA SINAR SURIA MENYINARI ESOK HARI.
Aku masih bersedih di atas kehilangan ini. Namun, aku perlu kuat dalam mengharungi dugaan ini kerana adanya mereka yang masih memerlukan aku. Ada kala aku tertanya-tanya sendiri, apakah aku mampu mengharunginya sedangkan pada dasarnya aku amat terluka dengan kehilangan ini. Pada zahirnya seolah aku mampu melalui hari-hari mendatang, akan tetapi aku sendiri takut mengakuinya jika datang perasaan yang tidak dapat dilawan itu, aku akan terbuai oleh tangisan hati aku sendiri nanti. Ya, esak tangis yang selama ini aku tahan dan aku larikan dari mengikutinya. Alhamdulillah adanya Yana disisi yang mampu menarik perhatian aku dari terlalu mengingati. Sekurang-kurangnya buat sementara waktu ini.
"Sabarlah dik, setiap manusia didunia ini ada dugaan masing-masing. Tuhan tidak akan menduga hambaNya dengan dugaan yang tidak mampu dihadapinya."
Terngiang-ngiang di ingatan aku akan ayat yang diucapkan seorang bakal Ketua Jururawat yang melihat aku sewaktu aku dirawat di hospital tempoh hari. Bagaimana dia bercerita akan kehidupan ada pasang surut dan dugaan masing-masing yang berbeza. Aku terdiam ketika dia bercerita kerana betapa aku terlupa untuk berfikiran positif kerana terlalu memikirkan kesedihan ini. Sesungguhnya aku akui aku tewas kali ini.
"Akak tahu dugaan kamu lebih hebat dari akak, dan akak pun tak tahu macamana rasanya kehilangan anak tapi sekurang-kurangnya kamu dah tahu dia dah selamat sampai di 'sana', ye"
Berjurai airmata aku sebaik mendengar kata-katanya. Benar, aku tidak sempat merasa bagaimana menjaganya waima untuk seketika. Namun syukur kerana aku tahu dia berada dimana, Alhamdulillah.



Comments